Kerajaan pastikan tekanan kos tak dipindah sepenuhnya kepada rakyat

Berita Harian

31 May 2026

Kerajaan pastikan tekanan kos tak dipindah sepenuhnya kepada rakyat

KRISIS gangguan rantaian bekalan global dijangka menjadi lebih ketara menjelang Jun dan Julai ini apabila banyak syarikat dilaporkan mula kehabisan stok lama bahan mentah yang digunakan untuk menampung operasi sejak beberapa bulan lalu.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, berkata tempoh berkenaan dijangka menjadi titik kritikal apabila bekalan baharu diperoleh daripada sumber alternatif belum tiba sepenuhnya untuk memenuhi keperluan industri.

Wartawan BH Ahad, Hazwan Faisal Mohamad mendapatkan penjelasan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berhubung kebimbangan terhadap gangguan bekalan ini.

  Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - Foto NSTP

Soalan (S): Dalam keadaan geopolitik global semakin tegang, khususnya di Asia Barat, sejauh mana kerajaan melihat risiko pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026?

Jawapan (J): Risiko ini adalah nyata dan perlu diurus dengan berhati-hati. Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia terdedah kepada gangguan perdagangan, kenaikan harga tenaga serta peningkatan kos logistik dan input pengeluaran. Sekiranya konflik berpanjangan, kesannya akan dirasai secara berperingkat oleh perniagaan dan isi rumah. Namun asas ekonomi negara kekal kukuh. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus, akaun semasa mencatat lebihan RM15.2 bilion dan inflasi April 2026 kekal terkawal pada 1.9 peratus. Pada masa ini, unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi 2026 kekal dalam julat 4.0 hingga 5.0 peratus kerajaan akan terus memantau perkembangan global dan memastikan sebarang tekanan tidak dipindahkan sepenuhnya kepada rakyat dan perniagaan.

S: Krisis gangguan rantaian bekalan global dijangka menjadi lebih ketara menjelang Jun dan Julai. Sejauh mana kerajaan bersedia menghadapi kemungkinan kekurangan bahan mentah serta gangguan operasi industri tempatan?

J: Kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan melalui pemantauan berterusan terhadap bekalan kritikal, tahap stok, kebergantungan import dan kedudukan logistik. Pemantauan ini dilaksanakan bersama kementerian berkaitan, agensi dan pihak industri supaya sebarang risiko dapat dikenal pasti lebih awal. Usaha mempelbagaikan sumber import dan mengenal pasti bekalan alternatif juga dipergiat. Keutamaan diberikan kepada input penting kepada pengeluaran makanan, sektor pembuatan dan industri kritikal. Bagi perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan memberi tumpuan kepada kemudahan logistik, akses kepada sumber bekalan alternatif serta sokongan pembiayaan bagi memastikan operasi dapat diteruskan.

S: Apakah langkah segera kerajaan untuk membantu PMKS untuk terus kekal beroperasi dan mengelakkan pengurangan tenaga kerja?

J: Keutamaan kerajaan ialah memastikan perniagaan berdaya maju mempunyai ruang aliran tunai mencukupi untuk meneruskan operasi dan mengekalkan pekerja. Bagi tujuan ini, Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) berjumlah RM5 bilion. Melalui kemudahan ini, PMKS yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM750,000 bagi tempoh sehingga lima tahun, dengan kadar pembiayaan maksimum 3.75 peratus setahun. Pembiayaan ini membantu perniagaan menampung modal kerja, termasuk kos operasi dan pembelian bahan mentah. Syarikat juga digalakkan berbincang lebih awal dengan institusi kewangan mengenai penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan. Sekiranya perlu, Aturan Kerja Fleksibel boleh digunakan sebagai langkah sementara untuk mengurangkan kos tanpa menjejaskan pekerjaan. Bagi pekerja terkesan, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) menyediakan perlindungan dan sokongan penempatan semula pekerjaan.

S: Apakah reformasi utama sedang dipercepatkan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap rantaian bekalan luar?

J: Pertama, kerajaan sedang mempercepat pembangunan ekonomi bernilai tinggi, khususnya industri semikonduktor. Kerjasama dengan Arm Limited dan pembabitan syarikat tempatan akan memperkukuh ekosistem reka bentuk cip, harta intelek serta penyelidikan dan pembangunan. Pelaburan serantau melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapore (JS-SEZ) akan dimanfaatkan untuk mengukuhkan rantaian bekalan ASEAN.

Kedua, Kerajaan sedang mempelbagaikan sumber input strategik dan memperluas pilihan pasaran, termasuk mengenal pasti sumber tempatan boleh digunakan industri, memperkukuh kerjasama dua hala dan meneroka pasaran baharu di Amerika Selatan, Afrika, Asia Barat dan Eropah Timur. Ketiga, peralihan tenaga dipercepatkan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Pelaksanaan biodiesel secara berperingkat daripada B10 kepada B12 dan B15 dijangka memanjangkan ketersediaan bekalan diesel negara sehingga 20 hari setahun, mengurangkan pelepasan karbon sekitar satu juta tan setahun dan menjana nilai kredit karbon kira-kira RM38 juta setahun. Pada masa sama, daya tahan rakyat terus diperkukuh melalui peluang pendapatan. Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) - Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), misalnya, mencatat jualan terkumpul RM20.46 juta setakat Mac lalu.

S: Adakah kerajaan menjangkakan tekanan inflasi dan kos sara hidup akan kembali meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang?

J: Tekanan harga dijangka meningkat secara berperingkat sekiranya kos tenaga dan logistik kekal tinggi. Inflasi meningkat daripada 1.7 peratus pada Mac kepada 1.9 peratus pada April lalu. Bagaimanapun, inflasi bagi 2026 masih dijangka berada dalam julat sederhana antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus. Kerajaan akan terus memastikan tekanan kos tidak dipindahkan sepenuhnya kepada rakyat. Antara langkah diteruskan ialah bantuan tunai interim BUDI MADANI Diesel sebanyak RM400 sebulan kepada penerima layak. Program Jualan Rahmah MADANI juga dipergiat dengan sasaran 30,000 program pada 2026, membabitkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seminggu.

S: Sejauh mana kerajaan bersedia menghadapi risiko kenaikan kos tenaga dan kelembapan ekonomi berpanjangan?

J: Kerajaan mengambil pendekatan berhemat, bersasar dan seimbang. Keutamaan jangka pendek ialah memastikan bekalan asas mencukupi, mengawal tekanan harga dan membantu perniagaan terkesan, khususnya PMKS. Pada masa sama, Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global dibangunkan untuk menjejak petunjuk utama berkaitan harga tenaga, komoditi, logistik, kadar pertukaran mata wang, perdagangan dan prestasi ekonomi.

Pendekatan berasaskan data ini membolehkan tindakan mitigasi diselaraskan dengan lebih pantas. Bagi tempoh sederhana, kerajaan akan terus mengukuhkan permintaan domestik, menarik pelaburan berkualiti tinggi, mempercepat peralihan tenaga dan membina rantaian bekalan lebih pelbagai.

S: Jika gangguan laluan perdagangan utama dunia seperti Selat Hormuz berterusan, adakah kerajaan mempunyai pelan kontingensi untuk memastikan bekalan makanan, bahan api dan barangan asas negara kekal stabil?

J: Ya. Pelan kontingensi sedang dilaksanakan secara aktif dan diselaraskan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jawatankuasa Khas Keterjaminan Tenaga dan Krisis Asia Barat juga bermesyuarat secara berkala bersama agensi berkaitan. Pelan ini memberi tumpuan kepada empat keutamaan, iaitu memastikan bekalan asas mencukupi, memanjangkan dan mengoptimumkan stok sedia ada, mengekang kenaikan harga serta mempelbagaikan sumber bekalan dan bahan api alternatif. Antara langkah dilaksanakan ialah pemantauan stok makanan, ubat-ubatan dan bahan api, fasilitasi logistik, pengukuhan penguatkuasaan bagi mengurangkan ketirisan serta peluasan biodiesel secara berperingkat. Data semasa dan maklum balas industri digunakan bagi memastikan tindakan boleh disesuaikan dengan cepat mengikut perkembangan terkini. Pelan kontingensi dirangka berdasarkan keputusan mesyuarat berkenaan bagi memastikan kerajaan sentiasa bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi dan perkembangan geopolitik semasa. Langkah ini penting mengurangkan impak terhadap industri serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Risiko perniagaan tutup, daya saing PKS merosot membimbangkan

  Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng. - Foto NSTP

Soalan (S): Adakah ahli PKS sudah mula merasai kesan ketidaktentuan bekalan global ketika ini, sama ada dari segi mendapatkan bahan mentah, kos logistik atau tempoh penghantaran?

Jawapan (J): PKS sememangnya sudah mula merasai impak ketidaktentuan global ini secara langsung. Kos bahan api dan tenaga kini melambung, menyebabkan kos input secara keseluruhan meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus. Dari sudut logistik, gangguan rantaian bekalan dunia serta pelencongan kapal kargo memanjangkan tempoh penghantaran sehingga 14 hari. Kelewatan ini menyebabkan aliran tunai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula 'terperangkap di laut' kerana realiti perdagangan menetapkan bayaran hanya akan diterima selepas barang selamat sampai ke destinasi.

S: Sekiranya berlaku kenaikan kos bahan mentah dan tenaga secara berpanjangan, sejauh mana ia boleh menjejaskan kelangsungan operasi PKS?

J: Sektor PKS memiliki margin amat kecil dan situasi kos tinggi berpanjangan ini meletakkan majoriti mereka dalam kedudukan sangat rapuh. Data SAMENTA menunjukkan 70 peratus PMKS hanya mempunyai simpanan tunai kurang daripada enam bulan. Apabila kos bahan mentah terus meningkat tanpa sekatan, simpanan terhad ini akan habis dengan pantas. Risiko penutupan perniagaan dan kemerosotan daya saing kini berada pada tahap membimbangkan.

S: Apakah sektor PKS dijangka paling terdedah sekiranya gangguan bekalan global berlarutan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan mengapa?

J: Sektor pembuatan, pembinaan, serta industri tekstil antara paling terdedah kerana kebergantungan tinggi kepada bahan mentah import seperti keluli dan petrokimia yang harganya kini melambung. Sektor makanan dan minuman (F&B), peruncitan dan perkhidmatan penghantaran turut terjejas teruk akibat kenaikan surcaj logistik domestik mendadak serta peralihan struktur pasaran seperti pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang mengurangkan kehadiran pelanggan fizikal di kawasan bandar. Keadaan ini bertambah parah kerana sektor ini juga sedang bergelut dengan masalah kekurangan tenaga kerja mahir dan isu kekurangan bakat.

S: Adakah kebanyakan PKS mempunyai pelan kecemasan atau strategi alternatif seperti mempelbagaikan pembekal dan sumber bahan mentah bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan?

J: Secara realistiknya, keupayaan PMKS melaksanakan strategi alternatif seperti mempelbagaikan pembekal agak terhad disebabkan faktor kos dan saiz perniagaan. Hampir 30 peratus PMKS masih bergantung kepada sistem manual dan menghadapi kekangan modal untuk menyesuaikan diri dengan teknologi penjejakan rantaian bekalan moden. Bagaimanapun, SAMENTA kini sedang giat menggesa ahli-ahli untuk mengurangkan kebergantungan kepada zon pasaran tradisional berisiko tinggi dan mula meneroka pasaran alternatif serantau dalam blok ASEAN serta pasaran bukan tradisional lebih stabil.

S: Dalam keadaan kos operasi semakin tidak menentu, adakah PKS mempunyai ruang menyerap kenaikan kos atau mungkin terpaksa memindahkannya kepada pengguna melalui kenaikan harga produk dan perkhidmatan?

J: Ruang untuk PKS menyerap kenaikan kos ini sudah hampir mencecah tahap tepu. Sebanyak 33 peratus PMKS sudah pun melaporkan penyusutan dalam permintaan domestik, bermakna kuasa beli pengguna di pasaran ketika ini sangat rapuh. Sekiranya PKS memindahkan kos ini secara agresif melalui kenaikan harga produk, mereka berisiko kehilangan pelanggan dan mengalami kejatuhan jualan lebih teruk. Akibatnya, banyak peniaga kecil kini terpaksa mengecilkan margin keuntungan mereka ke tahap paling minimum demi mengekalkan jualan.

S: Apakah bentuk sokongan paling diperlukan PKS daripada kerajaan ketika ini?

J: SAMENTA amat menghargai langkah proaktif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini mengumumkan peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dengan liputan sehingga 80 peratus, kelonggaran e-invois selama 12 bulan serta pinjaman rendah faedah sebanyak RM5 billion. Namun, bagi mendepani gangguan jangka panjang, PKS memerlukan sokongan struktur lebih bersasar. Kami memohon diwujudkan penurunan sementara nilai Nisbah Liputan Perkhidmatan Hutang (DSCR) perbankan kepada 1.0x, pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (SST) sewa premis selama sembilan bulan serta geran khusus untuk peralihan tenaga seperti panel solar dan subsidi ekonomi kitaran bagi mengurangkan kos operasi secara kekal.

S: Adakah persatuan menjangkakan berlaku gelombang penangguhan pelaburan atau pengambilan pekerja dalam kalangan PKS sekiranya ketidaktentuan bekalan global berterusan hingga suku ketiga tahun ini?

J: Ya, sekiranya ketidaktentuan bekalan dan krisis tenaga ini berterusan sehingga suku ketiga tahun ini, gelombang penangguhan pelaburan seperti pengembangan perniagaan dan digitalisasi serta pembekuan pengambilan pekerja baharu adalah sesuatu tidak dapat dielakkan. Pengusaha PKS akan mengurangkan perbelanjaan modal dan mengecilkan skala operasi. Oleh itu, intervensi awal seperti bantuan penstrukturan semula pinjaman melalui institusi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebelum situasi kewangan PKS menjadi kritikal adalah sangat penting bagi mengelakkan rantaian ekonomi negara daripada terus lumpuh.

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1565359/kerajaan-pastikan-tekanan-kos-tak-dipindah-sepenuhnya-kepada-rakyat.)