Kerajaan perhebat usaha pastikan lebih banyak peniaga manfaatkan pembiayaan mikro

TVS

3 July 2026

Kerajaan perhebat usaha pastikan lebih banyak peniaga manfaatkan pembiayaan mikro

 Tan Sri Johan Mahmood Merican semasa melakukan lawatan di Pasar Tani Putrajaya, hari ini. Foto Aizad (TVS)

PUTRAJAYA, 3 Julai: Kerajaan sedang mempergiat usaha meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan mikro bernilai lebih RM5 bilion yang disediakan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, semua agensi berkaitan akan digerakkan secara bersepadu untuk turun padang, khususnya bagi mendekati peniaga kecil yang layak menerima pembiayaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) itu.

“Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyediakan lebih RM5 bilion dalam bentuk pembiayaan mikro menerusi agensi utama seperti Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Apa yang sedang dilaksanakan ketika ini ialah meningkatkan tahap kesedaran kerana masih ramai yang belum mengetahui kemudahan tersebut.

“Semua agensi berkaitan bergabung untuk turun padang untuk menguarkan-uarkan mengenai kemudahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di Pasar Tani Putrajaya di sini, hari ini.

Mengulas maklum balas yang diterima sepanjang lawatan itu, Johan berkata sebahagian besar peniaga memaklumkan mereka telah memperoleh pembiayaan daripada pelbagai agensi kerajaan, malah ada yang menerima lebih daripada satu bentuk kemudahan daripada agensi yang sama.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan kemudahan khas bernilai RM5 bilion di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu PMKS yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.

Langkah itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi menyokong PMKS yang terkesan meningkat kepada RM10 bilion. – TVS

 

(Web source: https://www.tvsarawak.my/2026/07/03/kerajaan-perhebat-usaha-pastikan-lebih-banyak-peniaga-manfaatkan-pembiayaan-mikro/)