SME Bank sedia RM200 juta bantu perniagaan sektor 3D

Berita Harian

28 June 2021

SME Bank sedia RM200 juta bantu perniagaan sektor 3D


SME Bank

KUALA LUMPUR: SME Bank komited membantu usahawan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19 menerusi dana sebanyak RM200 juta di bawah Pembiayaan Padanan Geran, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, berkata dana itu disediakan bagi membantu usahawan yang terbabit dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) terutama dalam bidang pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pembinaan.

Beliau berkata, sektor 3D adalah antara sektor perniagaan yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada institusi kewangan kerana hampir keseluruhan operasi perniagaan sektor ini terjejas disebabkan pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020.

Katanya, pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA ini akan membolehkan usahawan mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kadar keuntungan antara empat hingga lima peratus setahun.

"Bagi pembiayaan yang diluluskan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) akan memberikan padanan geran sehingga maksimum 20 peratus daripada nilai pembiayaan yang diberikan.

"Ini akan membolehkan usahawan PKS membuat pembelian mesin, peningkatan adaptasi teknologi dalam perniagaan dan membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aria berkata, pelanggan SME Bank turut berpeluang mengikuti program bimbingan keusahawanan dan pembangunan kapasiti secara percuma di bawah anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR).

Beliau berkata, kemudahan pembiayaan itu juga boleh mendapat jaminan sehingga 80 peratus daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

"Bank percaya, dengan adanya Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA ini, transformasi perniagaan sektor 3D oleh kerajaan akan dapat direalisasikan dengan lebih pantas sekali gus menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan menyertai sektor 3D," katanya.

Maklumat lanjut mengenai Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA SME Bank boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03-26037700 atau www.smebank.com.my dan media sosial rasmi SME Bank.

 

Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2021/06/833036/sme-bank-sedia-rm200-juta-bantu-perniagaan-sektor-3d